Setelah sekian lama menyepikan diri dalam dunia blog, kini saya kembali. Mungkin bukan Ilmu penyusuan yang akan saya kupas hari ini tetapi adalah persiapan bagi ibu-ibu yang akan bersalin.
Semoga dapat memberI manfaat kepada kita semua.
Alhamdulillah ketemu kaedah berpantang daripada blog seorang ibu berkerjaya. Terima kasih atas sumbangan maklumat ini. Cuma saya ada meng'edit' sedikit mengikut pengalaman kawan-kawan yang lain.
Tertib Berpantang dari Pagi – Malam Selama 44 hari
Sebelum mandi (jam 6.00 pagi)
- Bertungku selama 30- 45 minit
- Proses bertungku dilakukan sambil berbaring
- Tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada )
- Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Nota: BERTUNGKU
Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.
Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.
Mandi (dengan air suam - pastikan mandi selewat-lewatnya 8 am)
- Cuci luka dengan air suam / air akar kayu
- Teruskan mandi dengan menyiram air dari kepala (basahkan rambut)
¯ Pegang hujung rambut dan baca selawat 3 kali dan titiskan air di kedua-dua mata.
- Selesai mandi
Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi, daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai, daun bonglai, daun mengkudu dan rempah halba.
Bertangas(Selepas mandi)
- Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh.
- Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan proplase ( keluar tombong ).
- Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain. Kawan saya mencadangkan buah manjakani dan asam gelugur direbus dan bertangas paling kurang 5 minit.
Persiapan sebelum berurut
· Keringkan badan
· Sapukan ubat kuning / majakani di bahagian luka dan pakailah tuala wanita
· Pakailah kain batik dan baju kemeja yang besar
· Tunggu untuk berurut
Persiapan selepas berurut
· Pakai bedak sejuk di muka
· Pakai pilis di atas dahi
· Pakai bedak panas di seluruh badan
· Pakai minyak perut disekeliling perut dan pinggul
· Pakai kain batik dan selepas itu lilit bengkung
Minum Pagi
· Makan pil yang diberi oleh doktor
· Makan jamu pil
· Makan jamu serbuk (bancuh dengan air asam jawa) – 1 cawan
· Minum susu tepung / milo
· Makan nasi bersama hidangan untuk ibu-ibu di dalam pantang
Nota: BERTASAK
Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan. Ia hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga hari, bahan berlainan digunakan. Caranya, bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat, dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.
Pada hari pertama hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum. Pada hari keempat hingga keenam, gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan, bahannya adalah 5 cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh lada hitam (Piper nigrum).
Makan Tengahari
· Makan pil yang diberi oleh doktor
· Makan jamu pil
· Minum air kosong
· Makan nasi bersama hidangan untuk ibu-ibu di dalam pantang
Nota: MINUM AIR AKAR KAYU
Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.
Minum Petang
· Minum susu tepung / milo
· Roti / biskut
Mandi (dengan air suam - pastikan mandi sebelum waktu maghrib)
· Cuci luka dengan air suam / air akar kayu
· Teruskan mandi dengan menyiram air dari kepala (basahkan rambut)
¯ Pegang hujung rambut dan baca selawat 3 kali dan titiskan air di kedua-dua mata.
· Selesai mandi
Persiapan selepas mandi
· Pakai bedak sejuk di muka
· Pakai pilis di atas dahi
· Pakai bedak panas/ param di seluruh badan
· Pakai minyak perut disekeliling perut dan pinggul
· Pakai kain batik dan selepas itu lilit bengkung
Makan Malam
· Makan pil yang diberi oleh doktor
· Makan jamu pil
· Minum air kosong
· Makan nasi bersama hidangan untuk ibu-ibu di dalam pantang
NOTA
Hendaklah berbengkung dengan betul / ketat sepanjang 24 jam (Menghindarkan perut buncit)
Jangan tidur baring ( ditakuti darah putih naik ke kepala )
Tidur hendaklah dengan duduk dan bersandar serta berlunjur
Jangan tidur di siang hari ( muka akan jadi bengkak / sembab )
Jangan keluar rumah umpama berjalan-jalan (muka akan tidak berseri kerana kena angin luar)
Jaga bahagian bawah yang luka dengan teliti agar tidak koyak kembali
Jalan dengan perlahan – lahan , lebih – lebih lagi jika hendak turun naik tangga ( Peranakan akan jatuh semula jika kita berjalan dengan laju )
Elakkan makan – makanan yang hanyir / berbau ( Darah kotor yang keluar dan peluh badan akan berbau busuk )
Jangan mengangkat benda – benda berat ( Urat kita akan tegang dan angin akan cepat masuk )
Ikat rambut kebelakang dan dibahagian atas dengan ketat ( Urat kepala & muka akan menjadi tegang – Awet muda )
Buang air dengan duduk berlutut dan tumit dibahagian belakang
Kredit kepada :-Natalis post natal & confinement care service dan Ibu Urban
Awalnya bertungku.
ReplyDeleteBertungku sendiri ke atau mak bidan yang buat?
bertunggku sendiri je...
ReplyDelete