Bantu ibu bermasalah penyusuan
MAKLUMAT...gerai maklumat dan bantuan kaunseling di Hospital Jasin |
Di zaman moden ini, semua orang tahu betapa berkhasiatnya susu ibu. Zaman dahulu, wanita moden berasa bangga apabila tidak menyusukan anak sebaliknya menggantikannya dengan susu formula.
Susu formula juga lambang kesenangan dan orang yang tidak mampu membeli susu dianggap kurang berada atau pun ibu yang kekampungan.
da yang rasa malu kerana terpaksa menyusukan anak dengan susu badan.
Itu mungkin di zaman dahulu. Kini, zaman semakin berubah malah kita hairan jika ibu tidak menyusukan sendiri anak mereka kerana susu ibu adalah yang terbaik di muka bumi.
Pelbagai alasan diberi kerana tidak menyusukan anak sendiri. Ini kerana begitu banyak kaedah yang boleh dilakukan walaupun oleh ibu yang berkerjaya. Masalah kurang susu juga sudah mudah diatasi dengan adanya pelbagai bantuan perubatan.
Dunia seakan terbalik sekarang. Dahulu, orang rasa bangga memberikan anak susu formula, kini orang hairan kenapa ibu tidak mahu memberikan anak mereka susu badan sendiri.
Seorang teman pernah bergurau, mungkin kerana popularnya susu formula 30 atau 40 tahun dahulu maka begitu banyak terjadi kes anak derhaka yang dipaparkan di akhbar sekarang. Anak tidak teragak-agak memukul dan mencederakan ibu sendiri!
Kini atas kesedaran, baik di Malaysia mahupun di mana-mana di serata dunia, penyusuan ibu sangat digalakkan sama ada si ibu berkerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa.
Supaya terus memberi kesedaran, galakan sesama ibu sangat diperlukan dan ada pihak yang melangkah lebih jauh lagi dalam membantu golongan ibu mengenai penyusuan bayi dan menubuhkan kelab.
Antaranya Kelab Susu Ibu Melaka yang ditubuhkan pada April 2010. Kelab ini adalah kumpulan sokongan penyusuan susu ibu di Melaka.
Antara yang menganggotai kelab ini ialah anak jati Melaka, Noor Azurah Anuar, 31.
“Anak pertama saya dilahirkan pramatang dan saya tidak menyusukannya waktu itu kerana tiada kesedaran. Syukur, anak kedua dan ketiga saya menyusukan mereka sepenuhnya sehingga usia masing-masing dua tahun,” katanya.
Menurut Azurah yang juga kaunselor laktasi kelab berkenaan, Kelab Susu Ibu Melaka ditubuhkan untuk membantu ibu-ibu yang bermasalah dalam penyusuan susu ibu atau mereka yang berminat untuk menyusukan anak mereka.
“Inisiatif awal dimulakan Pakar Paediatrik Hospital Melaka, Dr Ashikin Noordin yang kini menetap di Bangi. Dia juga adalah perunding laktasi bersama beberapa rakannya.
“Menyedari penyusuan susu ibu sangat penting tetapi sering dipinggirkan kerana kurangnya kesedaran dan kegagalan penyusuan disebabkan kurang ilmu dan sokongan, kelab ini ditubuhkan bagi memberikan sokongan secara langsung dan tidak langsung kepada ibu-ibu yang bertekad untuk menyusukan anak mereka,”
katanya.
Kelab terbabit kini disertai kira-kira 30 ibu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan.
“Ahli-ahli Kelab Susu Ibu Melaka terdiri daripada doktor, kaunselor laktasi dan ibu yang mempunyai kecintaan kuat untuk membantu ibu lain dalam penyusuan susu ibu,” katanya.
Azurah pernah bekerja sebagai penjawat awam tetapi kini menumpukan sepenuh perhatian dan usaha menyokong penyusuan susu ibu, sesuatu yang diharapnya dilakukan oleh semua ibu di Malaysia.
Objektif utama kelab adalah memastikan ibu-ibu dapat menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya enam bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berumur dua tahun.
“Setakat ini kelab ini mendapat dokongan penuh daripada pihak Hospital Melaka kerana ia menepati langkah ke-10 dalam Usaha Hospital Mesra Bayi, program yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Unicef pada 1991.
“Ia juga mendapat sokongan daripada Program Kaunselor Rakan Penyusuan Bayi Malaysia serta kelab penyusuan susu ibu negeri lain seperti Johor, Seremban dan Ipoh.
“Kami juga mempunyai halaman peminat Facebook dan setakat ini mempunyai 281 penggemar. Alhamdulillah, penyertaan semasa perjumpaan bulanan juga semakin bertambah. Kebanyakan masa, ia disertai oleh suami dan ada kalanya turut dihadiri nenek dan saudara mara kepada ibu yang menyusukan,” katanya.
Kelab Susu Ibu Melaka digerakkan secara bersama oleh Azurah dan temannya, Arin Yaacob, Jess Wong Hui Jian, Ruziah Amin, Idamurni Ismail dan Dr Siti Rohaini Abdul Ghani.
Bagi menarik minat orang ramai menyertai kelab ini, selain kunjungan ke hospital, Azurah dan rakannya mengedarkan risalah dan menjemput ibu-ibu di klinik kesihatan dan hospital.
Kunjungan ke rumah turut dilakukan sekiranya mendapat permintaan daripada ibu atau keluarga yang menghadapi masalah dalam penyusuan.
“Kelab ini adalah percuma dan tidak berasaskan kepada keuntungan. Semua wanita yang belum berkahwin, ibu, bapa, nenek, datuk dan sesiapa juga wajar menyertai kelab ini. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu kepada anak-anak, berkongsi maklumat serta pengalaman sepanjang penyusuan susu ibu,” kongsi Azurah yang berkelulusan Sains Komputer daripada Universiti Sains Malaysia.
Pertolongan yang biasanya diberikan oleh ahli kelab ialah kaunseling melalui telefon, e-mel, laman sosial, mengajar cara penyusuan serta lawatan ke hospital dan rumah untuk ibu-ibu di Melaka.
Sesi penerangan juga biasanya dilakukan dalam bentuk seminar, kelas penyusuan. perjumpaan bulanan, perkongsian maklumat melalui laman sosial, kaunseling peribadi serta pembukaan gerai di beberapa lokasi strategik.
“Banyak perkembangan positif dapat kami lihat sejak penubuhan kelab termasuk penerimaan dan pengiktirafan pihak hospital. Kami diterima masuk ke wad bersalin dan bilik bayi bagi membantu ibu-ibu. Paling menyeronokkan, sekiranya di awal dulu, kehadiran ke perjumpaan bulanan selalunya hanya di hadiri oleh ibu, kini ia turut disertai oleh bapa.
“Tetapi kami tetap mahukan lebih ramai lagi ibu bapa menyertai kami supaya lebih banyak aktiviti kesedaran dan sokongan dapat dijalankan,” harapan ibu tiga cahaya mata ini.
Kata Azurah, penyusuan susu ibu sememangnya sudah diamalkan oleh masyarakat Melayu tetapi sering kali dikaitkan dengan faktor ekonomi berbanding daripada sudut kesihatan, psikologi dan emosi.
“Dengan peningkatan kesedaran dan kefahaman mengenai penyusuan susu ibu ini, kini lebih ramai ibu profesional dan berkerjaya turut menyusukan anak mereka walaupun terpaksa bekerja lebih sedikit daripada mereka yang memilih untuk memberikan susu formula.
“Taraf pendidikan, agama dan tempat tinggal mempengaruhi keputusan ibu untuk menyusukan anak tetapi masalah sebenarnya adalah kurang maklumat yang membuatkan mereka berasa susu formula adalah lebih baik,” katanya.
Sokongan keluarga terutama suami amat penting. Ini kerana ada ketika ibu yang menyusukan anak mengalami tekanan emosi justeru, orang terdekat perlu peka dan membantu.
“Ada masa orang sekeliling tidak faham, suami yang jadi pembela. Di ketika lain, ibu sendiri rasa putus asa, letih dan tidak mahu meneruskan penyusuan, maka suami ambil tanggungjawab beri susu kepada anak (dengan stok susu yang sudah diperah). Jika ibu yang berkerjaya perlu ke luar daerah, kadangkala suami perlu ambil cuti dan menjaga anak,” katanya.
Tanpa kerjasama suami, tentu saja misi penyusuan anak sehingga ke umur yang sepatutnya tidak kesampaian.
“Suami saya sendiri sangat menyokong, dari awal kelahiran sehingga kini.
Keperluan material, emosi dan mental, semua disediakan.
“Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya boleh �meneruskan niat untuk menjadi kaunselor laktasi. Menghadiri kursus, menggunakan masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga semata-mata untuk melawat ibu di hospital atau di rumah, malah kebanyakan masa dia yang bawa saya ke rumah ibu yang perlu bantuan pada waktu malam,” katanya.
Kak wizana > share kebaikan dia dgn semua kawan2 .. kak meh ler try .. boleh tolong promo kt kawan2 yg minat ...
ReplyDelete